KOTA SAMARAHAN: Pasar raya yang menyertai program Jualan Rahmah mampu meraih peningkatan jualan selain dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk memperoleh barangan keperluan pada harga yang lebih murah.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Suhaizan Kaiat berkata, peningkatan jualan itu akan berlaku khususnya pada waktu menjelang musim perayaan apabila permintaan untuk barangan keperluan biasa turut naik.
“Ini usaha yang baik untuk meringankan beban rakyat khususnya pada musim hari raya ini,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan program Jualan Rahmah pasar raya H&L di Aiman Mall, di sini hari ini.
Suhaizan berkata dalam program itu, harga barang dijual lebih murah dan berpatutan di pasar raya berkenaan antaranya harga ayam standard bersih sebanyak RM13 seekor berbanding harga biasa RM20 seekor.
Katanya selain itu, telur jenis omega pula dijual pada harga RM15 sepapan berbanding harga asal RM18 sepapan.
Suhaizan berkata di Sarawak juga sebuah lagi pasar raya, Everrise telah melaksanakan program Bakul Rahmah di Kuching dengan menyediakan pakej barangan keperluan yang bernilai antara RM20 hingga RM99.
“Mereka yang berkemampuan boleh membelinya (pakej berkenaan) dan diserahkan kembali kepada pasar raya ini untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa organisasi akan menentukan penerima sumbangan program Bakul Rahmah itu yang terdiri daripada Dewan Bandar Raya Kuching Utara, Ragad Foundation, Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak, Cats FM dan Sarawak Children’s Cancer Society.
Program Jualan Rahmah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 menerusi penyediaan peruntukan RM100 juta bagi membolehkan barangan asas dapat ditawarkan pada harga hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. – BERNAMA