KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 10 hari bermula 16 Oktober ini untuk mendengar kes saman difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris menetapkan 16 hingga 20 Okt dan 23Â hingga 27 Okt untuk perbicaraan kes itu.
“Perbicaraan kes saman itu akan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff dan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 19 Mei ini,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas pengurusan kes berkenaan hari ini secara dalam talian.
Prosiding hari ini turut disertai peguam Shu Ivy yang mewakili Muhyiddin.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid, 70, berkata, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari lepas.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.
Sementara itu, Muhyiddin, 75, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei tahun lepas mendakwa kenyataan beliau bahawa Ahmad Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.
Presiden Bersatu itu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam. – BERNAMA