CYBERJAYA: Gelagat kanak-kanak zaman kini yang lincah berniaga di sekolah demi mendapatkan wang belanja lebih nyata mencuit hati.
Baru-baru ini, tular di Twitter perkongsian seorang wanita tentang perbualan anaknya yang berniaga di sekolah.
Dalam perkongsian itu, si anak, Ihsaan memaklumkan kepada ibunya bahawa dia berasa seperti orang kaya pada hari berkenaan kerana mempunyai duit belanja lebih.
Kenyataan Ihsaan membuatkan ibunya sedikit keliru dan tertanya-tanya bagaimana anaknya itu mempunyai ‘extra income’ akan tetapi, matanya tertumpu kepada air yang disedut Ihsaan pada ketika itu.
“Ihsaan tak makan ke tadi? Macam mana boleh beli ‘extra joss’ pula ni?” tanya ibunya.
“Tu Ihsaan cakap tadi. Ihsaan kaya hari ini, Ihsaan jual mercun Pop Pop 50 sen,” jelas anaknya.
Kenyataan Ihsaan membuatkan si ibu kurang selesa lalu bertanyakan sama ada Ihsaan menjual mercun terbabit dengan harga sekotak 50 sen.
Sebaliknya, Ihsaan memberitahu dia menjual mercun Pop Pop dengan harga 50 sen sebiji.
Jawapan Ihsaan membuatkan ibunya terkejut kerana anaknya sanggup berjualan seperti orang nak ‘pergi Haji balik hari’.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan idea penjualan yang cepat menguntungkan itu.
“Sebiji 50 sen kalau masuk angin baling tak meletup boleh refunds tak adik?” seloroh netizen.
“Sebiji 50 sen, sekotak tu contoh ada 50 biji untung RM25,” komen seorang pengguna Twitter yang lain.
“Sebiji 50 sen, tokan mercun adik ni,” tulis netizen.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)