KOTA TINGGI: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen, di sini, atas tujuh pertuduhan menembak polis serta memiliki senjata api dan dadah.
Muhamad Firdaus Paiman, 35, yang kudung kaki kiri dan berkaki besi mengaku bersalah atas enam pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa anak dua itu mengaku bersalah memiliki sepucuk pistol jenis Beretta Gardone VT, selaras senapang patah buatan sendiri, tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9mm tanpa lesen senjata.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tepi Masjid Al-Ikhwan Gugusan Felda Adela, Pengerang, dekat sini pada 1 pagi, 10 Mei lepas.
Tukang kebun itu juga mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki selaras senapang angin buatan sendiri dan sebutir peluru jenis Kartus 12 Bore tanpa lesen senjata, pada 2.30 pagi hari yang sama di sebuah rumah di Felda Tunggal, dekat sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara  maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960, yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim Sazlina Safie menetapkan 15 Jun ini untuk serahan dokumen, laporan kimia dan menjatuhkan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Di Mahkamah Majistret, tertuduh menghadapi satu pertuduhan melepaskan tembakan ke atas seorang anggota polis dan dua pertuduhan memiliki dadah.
Muhamad Firdaus didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Mohd Shafiq Nazrin Razali bagi menghalang penangkapannya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang pada 3.35 petang 7 Jun 2016.
Bagi pertuduhan ini tiada pengakuan direkodkan kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.
Muhamad Firdaus mengaku bersalah memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.44 gram dan kanabis seberat 0.9 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al-Ikhwan, Gugusan Felda Adela, pada 1 pagi 10 Mei lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 6 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid.
Majistret Rashidah Baharom menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes dan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Majistret, Pengerang. – BERNAMA