KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tiga kali dipenjarakan atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial, hari ini sekali lagi didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini.
Sharil Mohd Sarif, 40, penjual daging, mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia pernah mendapat rawatan psikiatri di Hospital Sungai Petani, Kedah.
“Saya ada makan ubat dan saya ada masalah mental,” katanya.
Hakim N Priscilla Hemamalini memerintahkan Sharil dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memaklumkan tertuduh hanya memberitahu secara lisan mengenai kesihatan mentalnya, namun tiada sebarang dokumen sokongan disertakan.
“Oleh itu, tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan di bawah Seksyen 342 (3) Kanun Tatacara Jenayah,” kata hakim itu dan menetapkan 16 Jun untuk sebutan semula kes bagi laporan psikiatri.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Shahril didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya melalui aplikasi Twitter, menggunakan laman profil “SharilSarif39″ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, antara 5.28 pagi dan 5.30 pagi pada 12 Mac lepas.
Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini pada 13 Mac lepas, 8.22 malam.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pada 26 April 2019, Sharil dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui aplikasi Facebook.
Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh mahkamah sama pada 6 Julai 2020 kerana kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di laman sosial Instagram.
Pada 24 September 2021, Sharil dipenjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi aplikasi Twitter. – BERNAMA