KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, setakat 30 April lalu, terdapat sebanyak RM11.2 bilion jumlah Wang Tidak Dituntut (WTD) yang sedang diuruskan Jabatan Akauntan Negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kira-kira 70 peratus daripada jumlah WTD itu, adalah wang di dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih.
“Setakat semalam, kita telah mengembalikan sebanyak RM3.3 bilion kepada rakyat yang membuat tuntutan,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu jumlah WTD yang tersimpan setakat 31 Mac lepas dan bentuk cadangan bagi memanfaatkan wang tersebut yang terbiar lama untuk pembangunan negara.
Menurutnya daripada jumlah WTD itu, kerajaan telah menyimpan sebanyak RM10 bilion dalam simpanan tetap dan hasilnya kerajaan telah memperoleh hasil RM250 juta setahun sejak 10 tahun lalu.
Beliau berkata, RM250 juta kemudian telah dikembalikan semula dalam wang disatukan dan digunakan untuk pembangunan dan bantuan rakyat.
Ahmad berkata, WTD juga didefinisikan sebagai wang yang tidak dibayar kepada empunya seperti gaji, bonus dan dividen dalam tempoh setahun atau lebih serta wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat yang mempunyai lebihan dalam tempoh dua tahun atau lebih.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Fong supaya WTD turut digunakan sebagai biasiswa pendidikan kepada rakyat, Ahmad berkata, kerajaan bersedia untuk mempertimbangkannya, namun tumpuan ketika ini diberikan untuk mengembalikan semula wang itu kepada rakyat.
Beliau berkata, rakyat yang mahu membuat tuntutan WTD tidak perlu menggunakan ejen, malah tiada bayaran yang dikenakan dan mereka yang ingin berbuat demikian boleh merujuk portal Jabatan Akauntan Negara iaitu www.janm.gov.my atau https://egumis.anm.gov.my. – BERNAMA