IPOH: Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah terbunuh apabila polis terpaksa melepaskan tembakan setelah suspek bertindak agresif mahu mencederakan ibunya dalam satu kejadian di Hutan Melintang, Bagan Datuk semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian pukul 11.30 malam tadi, suspek berusia 44 tahun dan bekerja sebagai buruh itu bertindak agresif menggugut mahu menetak ibunya.
Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian polis telah berusaha memujuk suspek memberikan kerjasama namun dia enggan dan telah bertindak agresif.
“Suspek kemudiannya mengugut menetak dan mencederakan ibunya yang berusia 72 tahun. Suspek turut meletakkan parang di tengkuk mangsa dan menuntut pihak polis untuk beredar.
“Bimbang akan keselamatan mangsa, pihak polis sedaya upaya memujuk suspek untuk bertenang namun dia memeluk mangsa sambil mengacukan parang dan gunting kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata, menyedari pihak polis telah berjaya masuk ke dalam rumah, suspek kemudiannya menolak ibunya sehingga jatuh dan pengsan serta membaling kipas angin sambil menghayunkan parang kepada pihak polis yang cuba menangkapnya.
“Di atas faktor ancaman nyawa yang dihadapi oleh pihak polis, satu das tembakan telah dilepaskan ke arah suspek dan terkena di bahagian bahu kiri. Suspek telah rebah ke lantai dan mangsa berjaya diselamatkan.
“Pihak polis bertindak menghubungi ambulans ke tempat kejadian bagi membantu suspek dan mangsa yang cedera. Namun suspek telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan setibanya di lokasi,” katanya.
Menurut Mohd Yusri, bedah siasat ke atas suspek dijalankan hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta di bawah laporan mati mengejut (SDR).
Katanya suspek yang merupakan seorang duda mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. – BERNAMA