HomeBeritaYayasan LTAT dan AMIM buka peluang pekerjaan pada anak-anak ATM dan Veteran...

Yayasan LTAT dan AMIM buka peluang pekerjaan pada anak-anak ATM dan Veteran ATM

CYBERJAYA: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dan Association of Marine Industries of Malaysia (AMIM) menganjurkan program Latihan Kemahiran Anak ATM dan Veteran ATM (LAKSAMANA).

Menerusi program itu, anak-anak ATM kategori lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta veteran ATM berpeluang mendapatkan pekerjaan di 141 syarikat berdaftar di bawah AMIM bagi tempoh tertentu.

Perkara tersebut termeterai dalam satu memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan LTAT dengan AMIM bagi membantu menyediakan laluan bagi penempatan pekerjaan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM dalam industri maritim.

“Bagi merealisasikan usaha murni ini, salah satu inisiatif di bawah Program CSR Industri Pertahanan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23), iaitu Program Latihan Kemahiran Anak ATM & Veteran ATM (LAKSAMANA), telah dirangka untuk memberikan peluang kepada anak-anak warga ATM lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta menyediakan laluan kerjaya kedua untuk veteran ATM bagi tempoh selama empat (4) tahun iaitu 2023 sehingga 2026 yang dijangka bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan di 141 syarikat berdaftar di bawah AMIM bagi tempoh tertentu.

“Sejajar dengan status Malaysia sebagai negara maritim berpotensi dalam aspek perdagangan dan geopolitik maritim, inisiatif ini dilihat mampu membantu pencapaian Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 daripada aspek pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor maritim dan mendokong hasrat Kementerian Pertahanan dalam merealisasikan Pelaksanaan dan Halatuju Kertas Putih Pertahanan (KPP) khususnya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan hidup veteran ATM lebih terjamin,” maklum Yayasan LTAT dalam satu kenyataan media. 

Susulan itu, Yayasan LTAT berharap kerjasama strategik tersebut mampu meningkatkan kebolehpasaran anak-anak ATM dan veteran ATM sekaligus menyumbang dalam pemacuan ekosistem tenaga kerja industri maritim.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor