PUTRAJAYA: Hubungan dua hala Malaysia-Indonesia kini berada di tahap yang sangat membanggakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, keadaan yang terhasil melalui hubungan akrab umpama satu keluarga antara beliau dan Presiden Indonesia Joko Widodo serta pegawai-pegawai kerajaan telah menyaksikan beberapa isu berlarutan sekian lama berjaya diselesaikan, antaranya isu sempadan maritim dua negara di Laut Sulawesi.
“Peningkatan kerjasama dan persefahaman dalam masa yang singkat dengan Indonesia ini adalah luar biasa dan pastinya akan memberi banyak faedah dan manfaat buat rakyat dan negara.
“Hubungan sangat akrab ini memudahkan kita dalam banyak urusan… saya serta Presiden (Jokowi) amat berbangga kerana melaluinya kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama berpuluh tahun,” kata beliau pada sidang media bersama Joko Widodo selepas sesi pertemuan empat mata di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata enam instrumen dua hala berkaitan ekonomi, perdagangan, sempadan dan maritim yang ditandatangani hari ini membuktikan perkara yang sukar diputuskan sebelum ini boleh diselesaikan melalui hubungan ‘kekeluargaan’ antara kedua-dua negara.
“Kalau kita teliti beberapa perjanjian hari ini termasuk bidang kerjasama antara PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Polis Indonesia serta antara Menteri Pertahanan kedua-dua negara yang tidak tercatat dalam senarai perjanjian persefahaman, Presiden (Jokowi) beritahu saya ada antaranya telah dirunding berpuluh tahun tetapi tidak mampu diselesaikan,” kata beliau.
Enam instrumen tersebut ialah Perjanjian Lintas Sempadan Antara Malaysia dan Indonesia, Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka; Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi; Perjanjian Perdagangan Sempadan; Kerjasama Promosi Pelaburan dan Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Bagi Produk Domestik.
Selain itu, Anwar memberi jaminan kerjasama dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dan peningkatan kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan, kegiatan dakwah yang sederhana serta pemahaman Islam juga akan diteruskan.
Sementara itu, Joko Widodo menyifatkan lawatan rasmi beliau sebagai berjaya dan menyambut baik penyelesaian yang dicapai kedua-dua negara berhubung sempadan laut di Laut Sulawesi Selat Melaka yang mana rundingan mengenainya telah berjalan sejak 18 tahun lepas.
Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi juga berharap rundingan mengenai isu sempadan darat dan laut serta berkaitan pekerja migran Indonesia di Malaysia turut dapat diselesaikan melalui hubungan kekeluargaan serta kerjasama baik Perdana Menteri dan juga menteri berkaitan.
“Alhamdulillah, isu yang dirunding sejak 18 tahun berjaya kita selesaikan hari ini. Saya harap isu-isu lain yang disebut juga boleh diselesaikan segera dengan harapan Perdana Menteri masih Anwar dan di Indonesia presidennya masih Jokowi,” katanya. – BERNAMA