MELAKA: Seorang warga emas cedera ringan selepas kereta dipandunya merempuh kedai serbaneka di stesen minyak Jalan Bukit Rambai di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, Jaafar Yusof, 69, baru sahaja selesai membuat pengisian minyak di stesen pam terbabit sebelum tertekan pedal minyak ketika memasuki gear D.
“Ia menyebabkan kereta jenis Hyundai Sonata dipandunya terbabas dan melanggar kedai tersebut menyebabkan lima panel gelas kaca pecah, manakala lelaki yang bekerja sebagai pesawah itu cedera ringan di kaki dan tiada kecederaan pada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA