IPOH: Bertujuan mencungkil bakat dalam bidang lagak aksi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Persatuan Profesional Lagak Aksi Malaysia (Promasta) mengadakan kursus kepada mereka yang berminat dalam bidang itu.
Ketua Penolong Pengarah Latihan Industri Finas, Radzuan Asan@Hassan berkata, program itu sebagai salah satu pendekatan Finas memacu perkembangan industri kandungan kreatif negara menerusi Program Geran Pembangunan Modal Insan Kandungan Kreatif Finas.
“Seramai 25 peserta dari pelbagai peringkat umur telah menyertai Kursus Motivasi dan Asas Lagak Aksi Siri 1 ini.
“Setiap persatuan menerima peruntukan daripada Finas untuk mengendalikan program meningkatkan tahap profesionalisme dan modal insan ahli untuk mengikuti kursus peningkatan modal insan yang dirancang,” katanya pada penutup kursus tersebut di sini malam tadi.
Program selama tujuh hari itu melibatkan peserta berusia 18 hingga 40 tahun.
Sementara itu, Penasihat Eksekutif dan juga Pengasas Promasta, Yank@Yusof Mohamed Kassim atau lebih dikenali sebagai Yank Kassim berkata, pihaknya menerima lebih 85 permohonan untuk menyertai kursus itu namun 25 peserta telah disenarai pendek.
“Setiap permohonan kita terima akan ditapis bagi memastikan mereka benar-benar layak mengikuti kursus asas ini kerana semua aspek diambil kira khususnya faktor kesihatan peserta.
“Kemudian kita akan saring lagi mereka ini kepada 12 orang untuk kita bawa mereka ke peringkat kursus yang berikutnya untuk pastikan bakat mereka itu akan terus digilap sebagai pelapis pelakon lagak aksi masa depan,” katanya.
Katanya, Promasta akan menganjurkan pelbagai latihan untuk sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang aksi lagak ngeri.
“Sasaran kami agar dapat melahirkan bakat yang dapat mencipta nama di luar negara dan individu itu kemudian dapat memberi tunjuk ajar pula kepada anak tempatan.
“Selain itu, ia juga dapat membuka mata masyarakat mengenai aksi lagak ngeri dan cara bekerja dengan selamat,” katanya. – BERNAMA