KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan semakan, terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonan mereka mendapatkan perintah reman terhadap seorang ketua polis daerah (KPD) di Pahang, bagi membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM1 juta.
SPRM dalam permohonan yang difailkan pada 21 Jun lepas, menamakan KPD itu sebagai responden.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz yang mendengar permohonan itu hari ini, menetapkan 7 Julai untuk keputusan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif berhujah Majistret terkhilaf semasa menolak permohonan reman oleh SPRM di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) terhadap KPD itu, atas alasan terdapat peruntukan khusus di bawah Seksyen 49 Akta SPRM (ASPRM) 2009 bagi mendapatkan perintah reman.
Beliau berkata, Majistret semasa membuat keputusan itu juga bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh pada 19 Mei lepas, yang memutuskan bahawa Seksyen 117 KTJ tidak terpakai untuk permohonan reman bagi kesalahan yang disiasat di bawah ASPRM 2009.
Rifah Izzati berkata, penelitian terhadap Seksyen 49 ASPRM 2009 jelas menyatakan, setiap kesalahan di bawah akta itu ialah kesalahan boleh tangkap bagi maksud di bawah KTJ dan boleh dilepaskan dengan jamin, namun tiada peruntukan di bawah ASPRM 2009 yang menggariskan prosedur penahanan lanjut orang ditangkap, jika penyiasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
“Disebabkan tiada peruntukan tentang bagaimana tindakan terhadap orang yang ditangkap dan tidak boleh dilepaskan daripada jagaan bagi tujuan siasatan, maka dihujahkan bahawa peruntukan di bawah KTJ (adalah) ex necessitate kelompongan yang ada dalam ASPRM 2009,” katanya.
Seksyen 117 KTJ juga menurut Rifah Izzati, telah lama diguna pakai bagi menjustifikasikan penahanan menurut undang-undang ke atas orang yang ditangkap jika penyiasatan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
“Kekhilafan Majistret dalam memahami peruntukan ASPRM 2009 seperti yang dizahirkan melalui perintah menolak permohonan reman terhadap responden secara tidak langsung telah menyekat dan menafikan fungsi dan kuasa pegawai suruhanjaya untuk menyiasat mana-mana aduan atau kesalahan di bawah ASPRM 2009 tanpa sebarang justifikasi yang wajar,” katanya.
Beliau berkata, keputusan yang menolak permohonan reman yang dikemukakan SPRM itu juga, bertentangan dengan prinsip undang-undang dan objektif serta tujuan penggubalan SPRM, bagi membanteras rasuah.
Rifah Izzati berhujah terdapat keperluan untuk Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa dan budi bicara, memperbetulkan ketidakadilan kepada pegawai SPRM dalam menjalankan siasatan disebabkan misconception of law yang berlaku di peringkat Mahkamah Majistret.
Pada 7 Jun lepas, Mahkamah Majistret di sini menolak permohonan SPRM bagi mendapatkan perintah reman terhadap KPD berusia 53 tahun, bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah secara bulanan antara RM20,000 hingga RM50,000 dalam tempoh lima tahun bermula 2017, daripada pengusaha pusat hiburan dalam daerah dia bertugas.
Sementara itu, peguam Datuk Bob S Arumugam yang mewakili KPD itu, memohon mahkamah menolak permohonan semakan itu atas alasan tangkapan di bawah akta SPRM perlu mematuhi prosedur dalam ASPRM 2009 dan permohonan reman juga perlu dikemukakan mengikut akta sama dan bukan di bawah peruntukan lain.
Beliau berkata, anak guamnya mula bertugas sebagai KPD pada pertengahan Mei 2018 sedangkan kesalahan didakwa berlaku pada 2017, dan SPRM sudah tentu telah menjalankan siasatan dengan teliti selama beberapa bulan sebelum membuat siasatan dan tangkapan. – BERNAMA