Hamidah Muhamad, 47, membuat pengakuan itu di dua mahkamah iaitu 38 pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran manakala 39 pertuduhan didengar di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.
Suri rumah itu didakwa memperdaya empat mangsa antara 2021 dan 2022 dengan menawarkan mangsa membeli sebidang tanah di mukim Pokok Assam dan sebuah rumah dengan niat curang mendorong mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya yang mangsa tidak akan memasukkan wang itu jika tidak diperdaya oleh tertuduh.
Hamidah didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Khoo Kian Peng dan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Harun manakala Hamidah diwakili peguam S. Singaradivel.
Khoo berkata tertuduh tidak dicadang ditawarkan sebarang jaminan kerana kerugian bagi kesemua 38 kes itu mencecah kira-kira RM200,000 manakala bagi 39 pertuduhan lagi yang dikendalikan Nur Amalina, beliau juga tidak mencadangkan Hamidah ditawarkan sebarang jaminan kerana melibatkan kerugian RM150,000.
Singaradivel bagaimanapun memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan masalah kesihatan termasuk menghidap kanser otak dan tulang belakang serta perlu menelan 32 biji pil sehari bagi rawatan penyakitnya.
Bagaimanapun Prabakaran menetapkan jaminan RM12,000 secara kolektif dengan dua penjamin bagi 38 pertuduhan manakala Nur Atiqah juga menetapkan jumlah yang sama dengan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh mesti diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 31 Julai bagi sebutan semula kes berkenaan.
Pada PRU15, Hamidah dari parti Makkal Sakti ketika itu mewakili BN menentang Cheah Pou Hian dari Pakatan Harapan (DAP) dan S. Navinten dari Perikatan Nasional (PAS) dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Jelapang.
Cheah menang dengan 21,554 undi manakala Hamidah hanya meraih 1,443 undi. BERNAMA