HomeBeritaJutawan hartanah saman penyebar fitnah di TikTok

Jutawan hartanah saman penyebar fitnah di TikTok

KUALA LUMPUR: RM10 juta! Itulah harga yang dituntut oleh jutawan hartanah, Azlan Al Amin ketika memfailkan tuntutan terhadap pemilik akaun TikTok, Matmovha.

Tuntutan itu berhubung tiga hantaran video yang tular dimuat naik di aplikasi TikTok pada 26 Jun lalu, lebih 500,000 tontonan.

Peguam dari firma HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili jutawan berkenaan memberitahu, hantaran video bertajuk ‘Azlan Al Amin nak tetak orang’ yang menyebabkan reputasi dan maruahnya sebagai pemilik syarikat hartanah tercalar.

“Kami dapati Matmovha adalah satu akaun khusus dicipta hanya untuk memuat naik video-video anak guam kami (Azlan) sahaja.

“Azlan juga mendapati video-video di akaun Tiktok @Matmovha telah dipadam sebelum jam 1, pada 3 Ogos lalu. Satu laporan polis telah dibuat Azlan di Jerteh.

“Pemilik akaun sudah dikenal pasti dan sebenarnya dia terbabit dalam perjanjian bersama Azlan bagi pembelian satu lot banglo yang masih dalam proses pecah lot di mana kaedah bayaran bagi pembelian hartanah tersebut adalah secara ansuran bulanan sebanyak RM500.

“Pembeli membuat bayaran deposit sebanyak RM10,000. Namun, pembeli hanya membuat pembayaran ansuran bulanan sebanyak sekali atau dua kali sahaja.

“Kegagalan pembeli membuat pembayaran lanjut adalah satu pelanggaran terma dan syarat perjanjian jual beli tersebut.

“Pembeli kemudian telah memohon untuk membatalkan pembelian hartanah tersebut dan meminta anak guam kami untuk membuat pembayaran deposit dan bayaran ansuran bulanan yang telah dibuat sebanyak RM10,500.

“Pembayaran balik kepada pembeli adalah sebanyak RM11,200 telah diberikan dengan lebihan RM700 sebagai sagu hati kepada pembeli,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Turut hadir peguam bersama Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Norhazira.

Bagaimanapun kata Azlan, pada 11 Oktober 2021, pembeli telah hadir ke rumah ibu bapa Azlan dengan agresif, pembeli telah memandu kereta dalam keadaan laju dan berbahaya di laluan masuk ke rumah Azlan.

“Pembeli dalam keadaan marah serta menjerit-jerit dan berulang kali membuat ancaman maut kepada keluarga saya.

“Berikutan tindak-tanduk dan kelakuan pembeli yang secara jelas bahaya, saya telah bersedia dengan pisau sebagai perlindungan diri dan bagi meredakan tindakan agresif lelaki itu dipercayai ada masalah mental.

“Saya telah menjelaskan kepada pembeli tersebut bahawa apa-apa jua tindakan pembatalan kerana kegagalan membuat bayaran bulanan hendaklah mengikut prosedur dan seharusnya berurusan di pejabat penjual.

“Pada awalnya dia kelihatan boleh terima dan mengucapkan terima kasih namun saya telah dapati dia merakam video secara tersembunyi.

“Kemudiannya tersebar video di aplikasi TikTok yang telah dimanipulasi dan tidak menggambarkan situasi sebenar keadaan pada ketika itu.

“Bagaimanapun, sebaran video-video itu berniat jahat palsu dan tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku.

“Sehubungan itu, tindakan ini (saman) bukan sahaja untuk membersihkan nama saya tetapi yang penting perbuatan dan budaya fitnah ini perlu dihentikan tak kiralah pada sesiapapun.

“Bahaya fitnah ini kerana ia boleh memusnahkan seluruh kehidupan dan masa depan seseorang.

Author

Pilihan Editor