HomeBeritaFenomena El Nino dijangka beri kesan cuaca panas, kering berpanjangan awal tahun...

Fenomena El Nino dijangka beri kesan cuaca panas, kering berpanjangan awal tahun 2024

CYBERJAYA: Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memaklumkan bahawa fenomena El Nino telah bermula dan kekuatannya dijangka meningkat pada penghujung tahun 2023 sehingga awal tahun 2024 dengan kebarangkalian 90 peratus.

Menjelang tahun 2024, fenomena El Nino dijangka memberi kesan lebih ketara di mana negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan.

Malah, ia akan mengakibatkan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah hujan serta mampu menyebabkan keadaan jerebu merentas sempadan jika pembakaran hutan dan tanah gambut tidak terkawal.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam satu kenyataan menasihatkan, semua pihak untuk mengamalkan langkah penjimatan dalam penggunaan air semasa keadaan cuaca panas.

“Orang ramai turut dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan dan minum air secukupnya.

“MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba sekiranya bacaan suhu maksimum harian melebihi 37.0°C untuk 3 hari berturut-turut,” katanya.

Difahamkan, fenomena El Nino terjadi apabila berlakunya pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa melebihi 0.5 darjah celcius berbanding nilai purata jangka panjang serta biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun serta dan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan.

Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.

Author

Pilihan Editor