MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut, dipercayai dibunuh dalam kejadian di Cheng, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, jenayah itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan di Hospital Melaka, memaklumkan menerima mangsa di Zon Merah dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 6.50 pagi.
Katanya, mangsa telah diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama satu jam 10 minit, namun tidak menunjukkan sebarang tanda positif sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi.
“Pada pukul 10.30 pagi mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Pemeriksaan awal doktor bagaimanapun mendapati, mangsa mempunyai kesan kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, di sini hari ini.
Ujarnya, susulan penemuan itu soal siasat telah dilakukan ke atas ibu mangsa dan teman lelakinya yang masing-masing berusia 24 serta 25 tahun.
“Hasil soal siasat, ibu si mati mendakwa dia telah menghantar mangsa ke rumah teman lelakinya di kawasan Cheng pada pukul 5.30 pagi untuk berubat kerana kanak-kanak tersebut mengalami muntah-muntah.
Christopher berkata, pada jam 10.30 pagi mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HM untuk tindakan selanjutnya dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan badannya.
“Hasil siasatan awal, lelaki berkenaan mengaku ada menendang mangsa secara agresif kerana muntah di atas sofa kesayangannya.
“Lelaki itu juga mengaku menekan perut kanak-kanak itu secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai.
“Akibat perbuatan kejamnya itu tengkorak kanak-kanak itu pecah selain organ dalam perutnya turut pecah,” katanya.
Beliau berkata, ibu kandung mangsa dan teman lelakinya kemudian ditahan polis di hospital untuk siasatan lanjut.
Katanya satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Dalam pada itu kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Julai depan bagi membantu siasatan kes.