HomeBeritaPRN: Harga barangan asas tidak akan naik sehingga hujung tahun - Salahuddin

PRN: Harga barangan asas tidak akan naik sehingga hujung tahun – Salahuddin

CYBERJAYA: Harga barangan asas khususnya yang bersubsidi tidak akan naik pada Ogos atau September ini kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal dakwaan berhubung harga barangan dijangka naik mendadak.

Pada masa sama, menerusi tinjauan KPDN mendapati harga ayam, telur ataupun RON95 serta diesel ketika ini masih berada pada harga yang ditetapkan dan terkawal.

Malah menurut Salahuddin, terdapat beberapa pasar raya yang mengambil inisiatif menjual harga minyak masak keemasan botol lima kilogram (kg) pada harga yang lebih rendah berbanding yang ditetapkan kerajaan iaitu RM30.90.

“Berdasarkan libat urus yang kita dah panggil hampir 30 industri dengan kementerian minggu lepas, mereka semacam memberi kata sepakat tidak mungkin berlaku kenaikan yang melampau (sehingga hujung tahun ini).

“Kalau ada pun mereka akan runding kembali dengan pihak kerajaan untuk kita lihat (kembali) harga-harga tersebut,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan di Econsave Setapak Central di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan segelintir pihak sengaja memainkan isu kenaikan harga menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

“Saya akan kira dalam satu troli yang kita telah buat kajian bagi B40 dan miskin tegar yang berbelanja, itulah yang akan masuk dalam troli itu.

(“Pengiraan ini) akan membuktikan bahawa harga tidak naik melampau dan dengan Jualan Rahmah, harganya lebih rahmah dan rakyat akan dapat lagi menikmati harga yang sebenarnya lebih rendah daripada harga yang tidak ada Jualan Rahmah.

“Oleh itu, saya mengharapkan rakyat bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan serangan-serangan yang mungkin berobjektif untuk menghadapi PRN di enam negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Author

Pilihan Editor