HomeBeritaKes murid digigit guru: Beri ruang untuk siasatan - KPM

Kes murid digigit guru: Beri ruang untuk siasatan – KPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang murid digigit guru di sebuah sekolah di Pantai Timur, baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, memberi jaminan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk kesalahan termasuk keganasan serta buli membabitkan pelajar.

“Jangan risau saya beri jaminan apa sahaja yang berkaitan dengan aduan, yang melibatkan keganasan, buli atau yang melibatkan tindakan fizikal, ini kita akan siasat.

“Segala siasatan mesti mengikut saluran dan proses yang betul iaitu mempunyai aduan, siasatan dan ketelusan.

“(Kes ini) masih dalam siasatan Jabatan Pendidikan Negeri. Kita telah serah kepada pihak berkuasa dan sedang menanti keputusan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis anugerah Digital Utilisation and Technology Awards (Duta) 2023 di sini pada Selasa.

Dalam pada itu Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, jika siasatan membuktikan wujud elemen-elemen yang menyalahi undang-undang, pihaknya akan membuat pengumuman.

“Bagaimanapun, buat masa ini, biarlah pihak berkuasa jalankan kerja mereka. Tentang status guru tersebut, saya juga sudah serah pada pihak JPN untuk uruskan dengan pemantauan daripada Kementerian dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial berhubung seorang ibu yang mendakwa bahawa anak lelakinya berusia enam tahun digigit seorang guru hingga menyebabkan emosi murid itu terganggu.

Dalam hantaran itu, ibu murid terbabit hairan selepas anaknya sering bertanya soal cuti sekolah dan tidak ceria seperti selalu.

Pada mulanya, ibu kanak-kanak itu beranggapan bahawa anaknya menjadi mangsa buli sehingga akhirnya terbongkar kisah bahawa anaknya digigit seorang guru lelaki hingga takut untuk ke sekolah.

“Buat masa sekarang perlu hormat proses siasatan, jadi bagi ruang untuk siasatan diperkemaskan,” ujarnya.

Authors

Pilihan Editor