BALIK PULAU: Siasatan dalaman berhubung kematian kanak-kanak perempuan 10 tahun didakwa akibat kecuaian pihak hospital di Selangor, baru-baru ini, adalah prosedur biasa.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, siasatan dalaman itu adalah bagi mengetahui lebih lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Kes diserah kepada polis bagi siasatan dan kita dinasihatkan supaya tidak beri sebarang komen sehingga siasatan selesai.
“Daripada segi siasatan dalaman pula, ia adalah prosedur biasa kerana setiap aduan yang diterima, kita mesti jalankan siasatan,” katanya selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Zaliha meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf bangunan Jabatan Kecemasan lama hospital berkenaan untuk digunakan sebagai Unit Rehabilitasi dan Klinik Dietatik serta kemudahan lain yang berkaitan, lapor Harian Metro.
Pada Ahad lalu media melaporkan, KKM masih menunggu laporan polis berhubung kematian Dea Maisarah Bada, 10, yang meninggal dunia didakwa akibat kecuaian pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, baru-baru ini.
Setakat ini, Polis Selangor mengesahkan menerima dua laporan berhubung kes kematian berkenaan iaitu daripada pihak hospital dan satu lagi daripada bapa mangsa.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 Oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.