PELUMBA berpengalaman, Cal Crutchlow akan berlumba bersama pasukan Yamalube RS4GP Racing Team YZR-M1 di Grand Prix Jepun sebagai pelumba Wild Card.
Aksi Cal Crutchlow di litar Mobility Resort Motegi pada 29 September hingga 1 Oktober 2023 diserikan dengan livery khas pada jentera yang digunakan.
Pemilihan Crutchlow sebagai pelumba Wild Card pada GP Jepun bersama Yamalube RS4GP Racing Team disebabkan beliau merupakan pelumba rasmi bagi pasukan Yamaha Factory Racing MotoGP Test Team.
Crutchlow akan berlumba seiring bersama rakan pelumba Yamaha MotoGP yang lain iaitu Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli.
Yamaha mengesahkan misi Yamaha adalah untuk membawa keterujaan tambahan di pusingan tuan rumah dan mempercepatkan pembangunan jentera, lapor Tarmac Sports.
Menurut Pengarah pasukan Yamalube RS4GP, Kazuhiro Masuda, pihaknya mahu mengambil peluang kali ini untuk membangunkan YZR-M1 secara maksimum.
“Saya yakin sepenuhnya bahawa maklum balas daripada perlumbaan wild card ini, yang ditunggangi dengan bahagian prototaip, akan menjadikan prestasi mesin itu lebih kuat,” ujarnya.