HomeBeritaMeta, Tiktok kerjasama bantu pantau kempen PRN – Fahmi Fadzil

Meta, Tiktok kerjasama bantu pantau kempen PRN – Fahmi Fadzil

CYBERJAYA: Platform media sosial, TikTok dan Meta bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan bagi membantu memastikan undang-undang negara dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen enam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, platform media sosial dijangka lebih rancak terutama menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.

“Tempoh hari, saya mengadakan mesyuarat bersama Ketua Polis Negara untuk melihat apa yang perlu dilakukan bagi memantapkan pasukan pemantauan terutama isu 3R (isu agama, raja dan kaum) dan beberapa perkara telah dipersetujui dan dilaksanakan pada kadar segera.

“Kalau kita ambil pengajaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jumlah kandungan dimuat naik sangat besar jumlahnya dan mungkin agak sukar untuk dipantau satu jumlah yang kecil.

“Tapi pada masa sama kita telah mendapat kerjasama platform seperti TikTok dan Meta, mereka sedia membantu memastikan undang-undang negara kita dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di SMK Sungai Pusu, Gombak pada Sabtu.

Tambahnya, beliau percaya garis panduan komuniti yang ada pada setiap platform media sosial akan secara automatik diaktifkan apabila berlaku pelanggaran atau aduan dibuat oleh orang ramai.

Justeru, Fahmi meminta orang ramai yang memantau atau mengikuti tempoh berkempen ini membuat laporan di platform terbabit sekiranya terdapat kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang atau menimbul kegusaran.

Malah, katanya, mereka boleh membuat laporan polis untuk tindakan lanjut sekiranya perlu.

Author

Pilihan Editor