HomeBeritaWarga emas antara dua maut motosikal bertembung di Parit

Warga emas antara dua maut motosikal bertembung di Parit

PARIT: Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka secara berasingan bertembung antara satu sama lain di Kilometer 19, Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja, disini, Perak pada pukul 7 petang Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan itu membabitkan warga emas berusia 64 tahun menunggang motosikal jenis Honda Dash dari arah Tanjung Belanja, menuju ke rumahnya di Kampung Tua.

Katanya, seorang lagi mangsa berusia 17 tahun pula menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, setibanya di lokasi kejadian iaitu simpang rumah, penunggang motosikal jenis Honda Dash tiba-tiba membelok ke kanan menyebabkan penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC yang bergerak lurus tidak sempat membrek lalu melanggar motosikal dinaiki warga emas berkenaan.

“Akibat kemalangan ini, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini (Selasa) di Hospital Changkat Melintang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author

Pilihan Editor