HomeBeritaAhmad Zahid patuh arahan PM, tak lulus peruntukan pada kempen PRN -...

Ahmad Zahid patuh arahan PM, tak lulus peruntukan pada kempen PRN – Anthony Loke

 

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didapati mematuhi arahan kerajaan yang tidak membenarkan apa-apa pengumuman peruntukan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengeluarkan arahan melarang semua menteri tidak mengumumkan sesuatu termasuk peruntukan sepanjang tempoh berkempen selepas hari penamaan calon, Sabtu lalu.

Katanya, semua menteri termasuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mematuhi garis panduan itu.

“Walaupun Ahmad Zahid ada mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) negeri dan RM200,000 untuk persatuan permotoran di Terengganu, tetapi ia diumumkan sehari sebelum hari penamaan calon dan tempoh berkempen.

“Pendirian DAP adalah pengumuman itu tidak menyalahi peraturan pilihan raya,” katanya kepada media selepas program ramah mesra bersama calon parti Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada PRK dan PRN di Pulau Warisan, di sini, semalam.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika mengulas pendirian DAP mengenai tindakan Ahmad Zahid yang mengumumkan peruntukan kepada MBM negeri dan Persatuan Permotoran negeri, Jumaat lalu, lapor Harian Metro.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah membuat pengumuman itu ketika berucap merasmikan Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa, di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Jumaat lalu.

Berikutan pengumuman itu, Sekretariat Muafakat Nasional (MN) dan UMMAH membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa pengumuman itu sebagai sogokan dan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Loke berkata, pengumuman peruntukan itu tidak menyalahi peraturan pilihan raya kerana ia diumumkan sehari sebelum hari penamaan calon, selain belum tempoh berkempen.

“Kita pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan sentiasa memantau pergerakan semua menteri ketika hadir membantu kempen calon yang bertanding pada PRN di enam negeri,” katanya.

Author

Pilihan Editor