CYBERJAYA: Kurang seminggu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bakal diadakan, setiap calon sudah pasti bertungkus-lumus mempersiapkan diri masing-masing menerusi 12 hari tempoh berkempen.
Tidak hanya sekadar itu, ada juga calon yang lantang bersuara sama ada menunjukkan kehebatan diri mahupun menjatuhkan pihak lawan.
Ini termasuk calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun yang menyifatkan parti seteru yang membuat gabungan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti beli satu percuma satu.
Menurut Rina yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga itu, pengundi PH seolah-olah diperdayakan bahawa mereka akan hanya memberi undi kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tanpa mereka sedari, katanya, pengundi PH sebaliknya sudah membuat undi kepada kedua-dua PH dan BN.
“Kita ingat kita undi PH, tetapi rupa-rupanya ia adalah perjanjian beli satu percuma satu.
“Anda mengundi PH, namun sebaliknya dapat Zahid Hamid (Pengerusi BN),” katanya seperti dilapor Sinar Daily.
Rina yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga itu turut mengecam blok kerajaan yang didakwa membutakan pengundinya.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu berkata, Selangor bernasib baik apabila tidak mengadakan PRN pada November lalu.
“Kita akhirnya dapat melihat bahawa apa yang mereka keluarkan hanyalah pembohongan selepas lapan bulan berkuasa,” tambahnya.
Rina turut memberitahu pengundi supaya tidak berputus asa kerana mereka masih mempunyai peluang untuk mengundi PN pada PRN Selangor akan datang.