CYBERJAYA: Seorang doktor tampil meluahkan kebimbangan mengenai tahap kesihatan rakyat Malaysia selepas melihat ‘trend’ minuman terkini.
Menerusi hantaran Facebook Khairy Malik, dia terkejut selepas melihat sebuah video peniaga air mencampurkan dua jenis bahan yang mempunyai tinggi kandungan gula di dalam air yang dijual.
“Tadi lalu video orang jual minuman di Facebook ni. Basically, dia campur air tin/air gas berkarbonat, dengan susu sejat yang aku tengok boleh tahan banyak sukatannya.
“Aku ingatkan tu video parodi atau video meme kelakar. Rupanya itu menu sungguh yang memang dijual dan wujud,” tulisnya.
Dalam pada itu, sebagai seorang pengamal perubatan yang bertugas di bahagian kecemasan dan sering menerima pesakit kencing manis, Khairi terpanggil untuk memberi peringatan kepada orang muda.
“Dulu waktu aku mula-mula jadi doktor, aku cuma nampak orang atas 50 tahun yang ada diabetes ni.
“Tapi semenjak dua tiga tahun ni, aku jumpa orang yang 30 tahun, 40 tahun dah ada diabetes.
“Bukan saja diabetes, malah dengan komplikasinya sekali. Retinal detachment, kidney failure, polyneuropathy,” jelasnya.
Khairi menegaskan dia tidak menghalang mana-mana individu untuk terus membeli air tersebut kerana ia merupakan pilihan setiap individu namun, kesihatan tetap harus dijaga.
“Kadang kita rasa benda tu tak manis, tapi kandungan gula kat dalam tu MashaAllah tinggi betul.
“Betul, kalau tak nak beli tak payahlah beli, tapi jomlah kita sama-sama beringat termasuk aku, bahawa diabetes itu penyakit yang sangat bahaya dan susah nak dikawal,” pesannya.