HomeBeritaSuri rumah meninggal dunia selepas jalani prosedur besarkan payudara

Suri rumah meninggal dunia selepas jalani prosedur besarkan payudara

 

JOHOR BARU: Seorang suri rumah berusia 29 tahun meninggal dunia selepas dipercayai menjalani prosedur membesarkan payudara di sebuah kawasan perumahan di Skudai di sini.

Wanita yang dikenali sebagai Tan Wei Shan itu dikatakan menjalani prosedur itu di sebuah rumah dua tingkat di Taman Mutiara Rini, Skudai pada petang 29 Julai lalu.

Suaminya, seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, isterinya mula berasa pening dan tidak sihat sebaik pulang ke rumah.

“Dia mengadu sakit dan bengkak di dadanya. Petang berikutnya (30 Julai), isteri saya mendapatkan bantuan di sebuah klinik, dan kemudiannya dikejarkan ke hospital swasta untuk rawatan perubatan pada kira-kira jam 7 malam.

“Dia meninggal dunia sekitar jam 7 pagi Rabu lalu (2 Ogos),” katanya sambil menambah dia meninggalkan dua anak berusia 9 dan 12 tahun, lapor The Star.

Wong berkata pada mulanya, Tan ingin melakukan pembedahan wajah, dan mengenali pakar kecantikan itu melalui seorang rakan.

“Sepanjang empat bulan perbincangan mereka, pakar kecantikan itu tidak pernah memberitahu isteri saya bahawa dia tidak bertauliah.

“Jadi apabila dia meyakinkan isteri saya untuk membesarkan payudara, isteri saya bersetuju.

“Bagaimanapun, isteri saya kemudiannya mengubah fikirannya (mengenai pembesaran payudara) kerana bimbang tentang prosedur itu tetapi pakar kecantikan memberitahunya bahawa prosedur itu mesti diteruskan kerana dia sudah membeli peralatan itu,” dakwanya.

Tan dikebumikan pada Ahad (6 Ogos).

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, polis tahu mengenai kes itu dan kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Author

Pilihan Editor