HomeBeritaMATTA Fair di MITEC September ini

MATTA Fair di MITEC September ini

KUALA LUMPUR: Hampir 22 juta pelancong bercuti di negeri Selangor pada 2022 sekali gus menjadikan negeri itu sebagai negeri paling ramai dikunjungi.

Susulan kejayaan itu, pameran MATTA 2023 akan berlangsung di Selangor bertempat di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 1 September hingga 3 September 2023. 

Menurut Selangor Tourism Sdn Bhd (Selangor Tourism), pameran MATTA tahun ini akan mengetengahkan Selangor sebagai ‘Destinasi Pilihan Malaysia’ menerusi kempen romosi pelancongan domestik, “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” dengan tiga pavilion diperuntukkan bagi mempromosikan produk pelancongan di Selangor.

“Sebagai destinasi pilihan MATTA untuk edisi yang akan datang ini, Tourism Selangor akan membawa kepelbagaian segmentasi pelancongan Negeri Selangor seperti hotel, taman tema, pelancongan pengembaraan, agro-pelancongan, gastronomi, kebudayaan, kesenian, eko-pelancongan dan banyak lagi.

“Dijangka 70,000 orang pengunjung akan mengunjungi Pavilion Selangor pada tahun ini berbanding 30,000 pengunjung pada bulan Mac yang lepas.

“Tourism Selangor akan bekerjasama dengan GL Play oleh Gamuda Land sebagai rakan strategik untuk membawa beberapa tarikan dan aktiviti ke Edisi Kedua MATTA Fair 2023 pada September ini, termasuk Trak Safari dan replika struktur kapal Amazonia SplashMania, tumbuhan hidroponik, demonstrasi coklat, trampolin, rawatan spa, demonstrasi pembuatan sushi dan dim sum, sesi perkongsian pemprosesan susu lembu, pelancaran Bas Hop On Hop Off Selangor dan banyak lagi,” maklumnya.

Dalam pameran MATTA edisi pertama bulan Mac lalu, Pavilion Selangor berjaya memperoleh nilai jualan pakej pelancongan bernilai RM 150,000.

Justeru, Selangor Tourism menjangkakan peningkatan jualan sebanyak 10 peratus daripada 70,000 orang pengunjung yang dijangka akan mengunjungi Pavilion Selangor pada edisi kedua pada September ini.

“Pada edisi yang akan datang ini, Tourism Selangor menampilkan lebih ramai pengusaha produk pelancongan menyertai acara tersebut antaranya seperti; taman tema GL Play (Taman Tema Air SplashMania, Paya Indah Discovery Wetlands, Discovery Park and Goosebumps Rope Course), pusat pemborong nombor satu di Malaysia GM Klang, Jumpstreet Asia, Muzium Coklat Kota Damansara, Selangor Fruit Valley, Rumah Hutan Terapi Alam, Hotel Eastin, Farm Fresh UPM, Sky Mirror, Hop On Hop Off Selangor dan banyak lagi.

“Istimewanya pada kali ini, Tourism Selangor akan membawakan pengalaman pelancongan maya dengan menggunakan teknologi VR 360.

“Pengunjung berpeluang untuk melancong ke Negeri Selangor bagi merasai sendiri pengalaman mengunjungi taman-taman tema serta keindahan pelancongan eko di Selangor secara maya dan merasai seperti berada di kawasan Pelancongan tersebut,” kongsinya.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah istimewa bernilai sehingga RM2,000 dengan menyertai pertandingan TikTok challenge Tourism Selangor bagi edisi kedua akan datang ini.

“Dari segi harga tawaran untuk pakej Pelancongan yang dibawakan pada edisi yang akan datang, pavilion Tourism Selangor dan produk Pelancongan di bawahnya akan menawarkan sehingga 50 peratus diskaun kepada para pengunjung yang akan hadir ke tiga hari acara berlangsung,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor