KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak untuk menghormati suara rakyat serta keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak harus menghormati keputusan dengan erti kata bersedia untuk menerima apa saja dengan baik.
“Ini adalah waktu untuk semua rakyat, semua parti sama ada menang atau kalah harus meneruskan silaturrahim dan terus bekerja untuk mengekalkan keamanan di negara ini serta membawa negara ke tahap dibanggakan.
“Bagi pihak Kerajaan Perpaduan serta kerajaan persekutuan, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus kekal kukuh selepas PRN ini.
“Insya Allah mulai Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa, tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia akan mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya dalam Majlis Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan kesyukuran kerana PRN yang berlangsung di enam negeri berjalan teratur.
“Kerajaan Perpaduan menzahirkan rasa penghargaan serta sokongan daripada semua kerana berjaya mengekalkan pemerintahan di tiga negeri.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memastikan perjalanan pilihan raya ini dalam keadaan baik,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang lain.