KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah isyarat amaran akhir untuk kelangsungan politik UMNO, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu membangkitkan perkara tersebut apabila mengakui prestasi Barisan Nasional (BN) amat lemah di Selangor.
Hal ini kerana, katanya, daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi, BN hanya memenangi dua termasuk satu yang asalnya ialah kerusi DAP.
“Malah, selain satu kes unik Sungai Air Tawar yang lebih mencerminkan kehebatan calon, PRN Selangor semalam menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah UMNO hendak menang.
“Hakikat ini harus diamati terutamanya oleh pemimpin UMNO di Selangor. Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.
“Di Selangor, setelah 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak. Ramai ahli-ahli UMNO Selangor yang berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka dengan nasib UMNO di Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Bendahari BN Selangor itu berkata, berdasarkan senario politik semasa, strategi dan keterampilan serta daya tarikan parti akan menjadi penentu kejayaan atau kegagalan.
Jelas beliau, UMNO bukan milik kelompok mana-mana kerana ia ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, maka tidak boleh terlalu radikal sebaliknya perlu meraikan pandangan dengan baik.
“Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat.
“Atas dasar itu saya berharap kepimpinan parti perlu bangkit dan memperbetulkan keadaan parti, yang bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka masa pendek tetapi usaha yang bersungguh untuk kembali diyakini rakyat dan juga akar umbi parti,” tambahnya.