CYBERJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan mahkamah melepaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu hanya melibatkan empat pertuduhan bagi kesalahan bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun beliau berkata, tiga lagi pertuduhan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 adalah kekal.
“Tarikh sebutan bagi kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 September depan,” katanya.
Pada Selasa, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pagoh itu untuk menggugurkan empat pertuduhan predikat bawah Seksyen 23 Akta SPRM.
Mahkamah melepas dan membebaskan Muhyiddin, 76, setelah mendapati empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah kabur dan tidak berasas, kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.
Berikutan kes ini, beliau menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.
Pada 13 Mac pula, pemimpin politik itu didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.