HomeBeritaHentikan fitnah yang diulang-ulang, isu sekolah agama - Amirudin

Hentikan fitnah yang diulang-ulang, isu sekolah agama – Amirudin

CYBERJAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa pihak tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Kesal dengan pihak terbabit terus mengulangi fitnah tersebut, beliau menjelaskan isu berkenaan telah dijawab kerajaan negeri Selangor pada Julai lalu.

“Hentikan fitnah yang diulang ulang. Telah dijawab semasa bulan Julai, dakwaan bahawa lebih 200 sekolah agama ditutup di Selangor adalah fitnah dan tidak berasas,” katanya menerusi Twitter rasminya.

Julai lalu, Amirudin menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Menerusi hantaran Twitter pada 25 Jun lalu, Amirudin dilaporkan berkata, kerajaan negeri berusaha menambah baik garis panduan pusat pendidikan agama bagi memastikan tahap keselamatan murid terjamin.

“Dakwaan ini adalah fitnah semata-mata! Di Selangor keutamaan Kerajaan Negeri adalah nyawa anak-anak yang menuntut ilmu. 

“Ekoran dari tragedi kebakaran di pusat tahfiz yang meragut puluhan nyawa anak-anak, Kerajaan Negeri telah menetapkan ketetapan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan anak-anak yang menuntut ilmu di sekolah agama,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor