LIVERPOOL tidak akan kehilangan khidmat pemain tengah mereka, Alexis Mac Allister untuk tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) mengekalkan rayuan terhadap kad merah yang diterima Mac Allister pada Sabtu lalu ketika menentang Bournemouth yang berkesudahan 3-1 di Anfield.
Mac Allister dibuang padang oleh pengadil, Thomas Bramall selepas melakukan terjahan keras ke atas Ryan Christie pada minit ke-58 dan bermakna pemain tengah Argentina itu dijangka terlepas perlawanan menentang Newcastle United, Aston Villa dan Wolverhampton Wanderers.
Mac Allister yang ditandatangani pada musim panas dari Brighton & Hove Albion telah membuat penampilan sulungnya di Anfield.
Bos Liverpool, Jurgen Klopp berkata selepas perlawanan itu, mereka akan cuba untuk membuat rayuan supaya kad merah yang diterima Mac Allister ditarik balik dan pada Selasa FA mengesahkan bahawa suruhanjaya kawal selia bebas bersetuju bahawa keputusan kad merah itu tidak tepat.
Layangan kad merah itu seolah-olah satu keputusan yang keras dan pengurus Bournemouth, Andoni Iraola berkata selepas perlawanan bahawa ia tidak kelihatan seperti kesalahan kad merah.