BARU-BARU ini, tular sebuah video memaparkan jalinan mesra antara seorang bapa dan anak perempuannya sehingga mencuri tumpuan warga net dengan lebih 3 juta tontonan di TikTok.
Menerusi video yang dimuat naik pemilik TikTok @knizamk1982, kelihatan gabungan foto dan video dia bersama anak perempuannya, Yaya yang gemar memeluk dirinya sejak kecil lagi.
Video yang menyaksikan aksi Yaya dari bayi hingga ke dewasa gemar memeluk si bapa lebih-lebih lagi saat dia kesedihan dan dalam keadaan kecewa itu nyata membuatkan warga net tersentuh hati.
@knizamk1982 yaya yang manja
Malah, ramai yang beranggapan keakraban dua beranak itu sama seperti filem komedi, ‘Papadom’ lakonan Afdlin Shauki dengan Liyana Jasmay.
Selain daripada menyifatkan watak si bapa sama seperti watak Afdlin dalam ‘Papadom’, ada juga netizen yang memuji sikap si bapa itu yang tanpa segan memaparkan kasih sayangnya di khalayak ramai.
Malah, ada juga yang mengimpikan seorang bapa seperti lelaki budiman itu.