OLEH: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Haris, memberitahu dia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wanita yang dipercayai ingin menjatuhkan perniagaan inai yang diusahakan olehnya bersama isterinya, Neelofa.
Menerusi hantaran di InstaStorymiliknya, dia memberitahu mempunyai beberapa fakta kes berhubung apa yang telah berlaku sejak kebelakangan ini ke atas seorang wanita dikenali sebagai Wani kerana dipercayai membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka.
Ujarnya, wanita tersebut telah menulis kenyataan di media sosial mengenai perasaan sedih dan kecewa konon-kononnya pihak Nunha.co menipu dan menganiaya pelanggan dengan meletakkan beberapa paksaan.
Bukan itu sahaja, wanita tersebut mendakwa pihak Nunha memaksa pelanggan membuat pembayaran secara tunai dan tidak boleh memberi inai secara dalam talian mahupun kaedah lain.
“Ini konon-konon expose (pendedahan) perkara-perkara yang timbul fitnah kita paksa bayar dan sebagainya.
“Bukan dari kami arahan ini dan perkara ini dah memalukan kami sekali lagi seluruh Malaysia tuduh kita buat benda salah dan sebagainya.
“Memang saya banyak berdiam tetapi dengan fitnah yang kali ini saya tidak akan berdiam tindakan lawyer (peguam) akan diambil secepatnya,” tulisnya.
Sejak kebelakangan ini pasangan selebriti Neelofa dan suami Haris Ismail diduga dengan pelbagai kisah kontroversi tidak kira sama ada berkaitan peribadi mahupun perniagaan yang sentiasa mendapat perhatian netizen.
Terbaharu, perniagaan produk inai yang diusahakan pasangan ini dengan nama Innai Nunha terpalit kontroversi apabila mereka dikatakan bersikap tidak adil kepada stokis dan ejen.
Perkara tersebut hangat diperkatakan di media sosial apabila sebuah video TikTok tular yang mendakwa pihak pengurusan meminta bayaran tunai daripada stokis dan ejen jika mahu mendapatkan produk berkenaan.
Neelofa bagaimanapun menyangkal tuduhan itu ketika bersiaran langsung di TikTok bersama Haris.