HomeBeritaMahkamah & JenayahHina Sultan Selangor: Polis siasat pemilik FB 'Iman Mustaqim'

Hina Sultan Selangor: Polis siasat pemilik FB ‘Iman Mustaqim’

KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook, Iman Mustaqim yang disyaki memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Individu itu membuat hantaran yang berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Sultan Selangor di Facebook pada Isnin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Shuhaily menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat salah sehingga mengganggu proses siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Iman Mustaqim didakwa memuat naik hantaran berbaur ugutan kepada Sultan Selangor. – Sinar Harian

 

Author

Pilihan Editor