HomeBeritaMahkamah & JenayahBekas Mufti Selangor lapor polis nama disalah guna dalam iklan pelaburan

Bekas Mufti Selangor lapor polis nama disalah guna dalam iklan pelaburan

SHAH ALAM: Iklan pelaburan yang dikesan menggunakan nama bekas Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid disahkan palsu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan berkaitan perkara tersebut diterima pihaknya kira-kira jam 9.30 malam pada Ahad.

“Beliau (Mohd Tamyes) membuat laporan polis berhubung iklan pelaburan yang dikesan menggunakan namanya.

“Siasatan awal mendapati iklan tersebut turut memaparkan gambar beliau dan ia didapati tular di Facebook,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan turut mendapati iklan pelaburan tersebut palsu tidak ada kaitan dengan bekas Mufti Selangor itu.

“Laporan polis yang diterima dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Hussein menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan iklan di media sosial yang menggunakan identiti mana-mana individu penting.

“Jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan atau tawaran yang menggunakan nama atau gambar individu kenamaan di media sosial.

“Semak dahulu kesahihan iklan tersebut supaya mengelakkan daripada dimanipulasi serta menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Tegas beliau, pelaburan seharusnya dilakukan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.

“Sekiranya timbul kecurigaan, semakan boleh dibuat di laman sesawang Bank Negara Malaysia bagi mengenal pasti kesahihan serta kewujudan sesebuah syarikat pelaburan itu.

“Selain itu, orang ramai turut boleh menghubungi pihak polis atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk pertanyaan,” katanya. – Sinar Harian

 

Author

Pilihan Editor