MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan waris bayi perempuan yang ditinggalkan dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas Klebang di sini, pada bulan lalu.
JKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan masih bertali pusat itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
“Bayi itu telah diselamatkan seperti mana peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001 dan menjalani pemeriksaan serta rawatan di Hospital Melaka.
“Sekiranya tidak ada waris, JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkan bayi itu di institut JKM atau diserahkan kepada orang yang layak dan sesuai,” katanya pada Isnin.
Sehubungan itu, waris diminta tampil atau menghubungi Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah, Siti Aishah Mohd Noor di talian 06-3333333.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dipetik berkata, sebelum ini, anak lelaki pesara terbabit yang berusia 18 tahun mendengar suara mencurigakan dari dalam tong sampah ketika melalui kawasan tersebut, lalu pulang ke rumahnya di Taman Pantai Emas untuk memaklumkan kepada bapanya.
“Beliau kemudian membawa plastik putih berisi bayi berkenaan ke Balai Polis Batang Tiga kira-kira 10.50 malam,” katanya.