GARA-GARA memakai serum kening, seorang wanita di Indonesia mengalami pertumbuhan bulu yang sangat banyak di mukanya.
Menerusi video TikTok @Desimaya, bukan sahaja bahagian kening malah, bulu tumbuh lebat di kawasan misai, lubang hidung serta permukaan wajahnya.
Pada awalnya, dia tidak menyangka dengan mencuba sejenis serum bagi melebatkan kening, bulu di bahagian wajahnya tumbuh agresif sehingga sekarang.
Dia terpaksa mencukur sedikit untuk memperkemaskan wajahnya supaya tidak kelihatan serabut.
Membalas komen netizen yang mengatakan dia mempunyai masalah PCOS, dia memberitahu wajahnya secara alami memang mempunyai bulu halus di bahagian muka.
“Gak sayang, aku bawaan lahir udah kian banyak gitu tapi halus-halus banget. Tak tahu pakai serum malah menebal, gak dipakai satu muka padahal,” balasnya.
Tambahnya, dia mengakui berasa sedih melihat komen netizen yang rata-ratanya mengkritik wajahnya.
Menurut portal MyHealth, Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) adalah satu sindrom yang boleh memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan rupa fizikal seseorang wanita yang menghidapinya.
Pesakit PCOS akan menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu disebabkan ketidak-seimbangan hormon dalam badan dan ini boleh menjejaskan kesuburan pesakit.