HAJAT seorang lelaki untuk bergelar ‘raja sehari’ esok lebur begitu sahaja apabila ditahan polis kerana disyaki memiliki 2.1kg dadah jenis syabu.
Meskipun suspek berusia 30 tahun itu cuba melarikan diri dengan keretanya tetapi polis berjaya menahannya di Jalan Timur, disini sekitar jam 12 tengah hari pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dalam keadaan curiga dilihat cuba membuat pusingan U dan memecut apabila nampak polis.
“Pemeriksaan awal ke atas suspek menjumpai satu bungkusan plastik di dalamnya mengandungi empat plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Pemeriksaan polis dalam kereta terbabit turut menemukan sebuah kotak yang di dalamnya mengandungi dua bungkusan plastik hijau bertulis ‘Guanyinwang’ iaitu bahan hablur jernih mampat disyaki dadah jenis sama (syabu),” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini hari ini.
Tambah Jasmin, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada tahun 2016.
“Polis percaya dadah yang dirampas daripada suspek ini adalah untuk pasaran tempatan dan kita sedang giat menjalankan usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah yang terbabit.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 7 sehingga 14 September depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” maklumnya.