HomeBeritaPolitikSyed Saddiq kena sedar menang di Muar atas bantuan PH - Loke

Syed Saddiq kena sedar menang di Muar atas bantuan PH – Loke

CYBERJAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengingatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kemenangannya di Muar disebabkan sokongan oleh pengundi Pakatan Harapan (PH).

Kata Loke, PH banyak membantu Syed Saddiq atas persefahaman kerjasama dengan PH sehingga meraih kemenangan di Muar.

“Saya nak beri amaran kepada Syed Saddiq bahawa kemenangannya di Muar adalah atas persefahaman kerjasama dengan PH. Dia tidak menang di Muar atas kapasiti partinya sendiri. Dia menang atas sebab persefahaman dengan PH.

“Kita tidak letak calon kita di sana (Muar), malah DAP dan PH sokong serta bantu kempen beliau ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Tahunan DAP 2023 di sini, pada Ahad.

Tambah Loke, PH sendiri memberi enam kerusi kepada MUDA untuk bertanding pada PRU lalu bagi mengelak pertembungan dalam blok PH.

Malah, maklum beliau, PH turut memberi laluan kepada Presiden MUDA itu untuk menang di Muar dan kemenangan itu atas blok PH.

“Walaupun dia (Syed Saddiq) tidak bertanding atas bendera PH tapi dia bertanding atas blok PH. Justeru, dia juga ada obligasi untuk memastikan kemenangan beliau di Muar mendokong Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

“Dia juga ada tanggungjawab itu dan dia menang atas undian daripada pengundi PH,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq menyatakan mahu menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan keputusan kes rasuah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, MUDA tidak akan teragak-agak menilai kedudukan dalam menyokong Kerajaan Perpaduan jika tiga tuntutan parti itu terhadap perkembangan kes membabitkan Ahmad Zahid tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan.

Author

Pilihan Editor