KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi memberi laluan kepada Peguam Negara menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pertuduhan rasuahnya.
Lapor Utusan Online, Johari bagaimanapun tidak memberitahu alasan-alasan menolak usul tersebut daripada dibahas dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin.
Sebelum mesyuarat bermula, Wan Ahmad Fayhsal berdiri menggunakan peraturan mesyuarat bagi mendapatkan penjelasan berkaitan usulnya.
Bagaimanapun, Johari memberitahu akan memberi ruang kepada beliau bercakap mengenai hal itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai berucap mengenai Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang diketuai Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mendesak supaya usul itu diterima dan dibahas.
Selepas beberapa minit pertengkaran berlaku, Wan Ahmad Fayhsal secara ringkas memberitahu bahawa usulnya telah ditolak Johari.
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin: Rakan-rakan saya bertanya, apakah usul dibawah Machang ini dibenarkan untuk dibahas atau tidak? Kalau boleh kita mahu bahas. Kami akan sangat bersabar jika Yang Dipertua jawab boleh dibahas selepas ini.
Johari: Usul telah ditolak. Saya akan beri ruang untuk Machang bercakap.
Hamzah: Sebab kita tidak tahulah kita tanya (jika boleh dibahas atau tidak).
Baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan meminta sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ditangguh mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.
Katanya, usul itu adalah perkara tertentu kerana Dewan Rakyat berhak mengetahui perincian dan asas keputusan itu, kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang anggota pentadbiran kanan Kerajaan Persekutuan dan Ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Anwar sebelum ini berkata, kes melibatkan Ahmad Zahid tidak boleh dibahas kerana platform Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah.
Dalam mesyuarat Dewan Rakyat pada April lalu, usul Wan Ahmad Fayhsal untuk membincang mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar, turut ditolak walaupun dikatakan bersifat kepentingan awam dan perlu disegerakan.
KSP RMK12 disediakan bagi mengukur pencapaian sepanjang dua tahun pertama pada 2021-2022.
Selain itu, ia juga akan mengetahui hala tuju bagi tahun 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.