TANJUNG MALIM: ‘Geng Tasha’ yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Muallim tumpas dengan tertangkapnya lima individu termasuk seorang wanita, pada Rabu dan Khamis lalu.
Kesemua suspek berusia 23 hingga 36 tahun itu diberkas dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Selangor.
Difahamkan, kumpulan yang diketuai wanita berusia 25 tahun itu aktif sejak tahun lalu dan menjalankan aktiviti jenayah bagi membiayai perbicaraan kes pecah rumah yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, tiga suspek termasuk wanita itu ditahan Rabu lalu di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam dan Rawang manakala seorang lagi suspek diberkas di Sungai Buluh, keesokan harinya.
Katanya, tangkapan terhadap suspek berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah di Taman Bernam Baru pada Ogos lalu melibatkan kerugian sekitar RM35,000.
“Modus Operandi geng ini, mereka akan melakukan tinjauan di kawasan perumahan selama beberapa hari sebelum menyewa sebuah kereta lain untuk memecah masuk rumah mangsa menerusi pintu belakang.
“Kumpulan ini juga akan mengunci semula pintu rumah menggunakan mangga baharu hingga menyukarkan mangsa untuk masuk rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hasni, barang kemas milik mangsa kemudiannya digadaikan di beberapa kedai sekitar Batu Caves dan Jengka, Pahang.
“Dua kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi yang digunakan dalam aktiviti jenayah itu disita bersama nombor pendaftaran kenderaan palsu dan enam helai resit pajak gadai.
“Polis turut menemukan set kunci mangga, sebuah komputer riba serta peralatan seperti kuku kambing, sarung tangan dan lain-lain yang digunakan ketika kejadian,” katanya.
Mohd. Hasni berkata, kesemua suspek direman selama lapan hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Kita juga sedang mengenal pasti seorang lelaki dipercayai ahli geng yang masih bebas dikenali sebagai ‘Ah Fai’,” katanya. – Utusan