KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan TH Khairat iaitu perlindungan takaful sebanyak RM12,000 kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal ke atas pendeposit TH dengan langganan tahunan serendah RM28.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif itu merupakan satu komitmen dan langkah proaktif agensi di bawah kementeriannya untuk meringankan beban kewangan pendeposit TH.
Selain itu, beliau berkata, inisiatif itu menggalakkan umat Islam untuk menabung dan membuat persediaan awal dari segi kewangan manakala pengurusan waris sewaktu dan selepas kematian dapat diuruskan dengan baik.
“Saya berharap, usaha seperti ini akan mendapat sambutan dan sokongan ramai kerana menerusi TH Khairat, kebajikan dan kesejahteraan para pendeposit akan terus terpelihara kerana bantuan kewangan akan diberi pada masa sukar apabila berlaku kematian kepada pendeposit.
“Sebelum ini saya mendapati kebanyakan asnaf tiada skim takaful. Ini bermakna apabila ketua keluarga (suami) meninggal dunia, ada isteri didapati tidak bekerja langsung, putus harapan dan tiada pendapatan.
“Apabila kita ada TH Khairat, sekurang-kurangnya kita ada jaminan apabila pendeposit meninggal dunia. Waris akan mewarisi RM12,000 manakala wang tersebut boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan.
“Selain dapat bantuan agensi-agensi kerajaan, sudah tentu waris akan dapat manfaat RM12,000 yang diwarisi daripada pendeposit terbabit.
“Menerusi cara itu, akan wujud kesejahteraan masyarakat baik dan sejahtera, yang mana tiada lagi kesusahan akibat daripada kematian ketua keluarga menerusi TH Khairat,” katanya menerusi sidang media selepas melancarkan Tabung Haji (TH) Khairat, di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini pada Isnin.
Ketua agensi wajib langgan TH Khairat
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, inisiatif tersebut akan dimulakan dengan dirinya dan ketua-ketua 14 agensi di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Beliau berkata, permulaan itu mewajibkan ketua-ketua agensi yang ada untuk melanggan TH Khairat.
“Apabila mereka sudah melanggan TH Khairat, maka mudahlah mereka bercakap dengan anak buah di bawah untuk melakukan perkara sama.
“Takkan mereka tak buat (langgan TH Khairat), tetapi nak suruh anak-anak buah pula. Itu hasrat saya supaya lepas itu langganan akan diturunkan kepada warga kerja.
“Saya dimaklumkan setakat hari ini sudah ada 9,000 pendeposit TH yang telah melanggan TH Khairat. Jadi, saya harap biarlah sampai keseluruhan sembilan juta pendeposit TH akan melanggan inisiatif itu kerana manfaat yang banyak,” tambahnya.
TH Khairat terbuka kepada semua pendeposit TH yang berumur seawal 30 hari sehingga 65 tahun dan yang ditaja jamin oleh Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT).
Bayaran RM28 adalah secara potongan terus daripada akaun TH secara tahunan dan pendaftaran boleh dilakukan melalui portal atau aplikasi THiJARI.
Pendeposit juga boleh mendaftarkan TH Khairat untuk akaun anak di bawah jagaan yang berumur di bawah 18 tahun di bawah THiJARI.
Untuk maklumat lanjut, layar www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.