KUALA LUMPUR: “Sumpah demi Allah SWT saya tidak menggunakan bahan terlarang seperti ditularkan netizen. Ini maruah saya dan sebagai umat Islam saya bertanggungjawab serta ikhlas berniaga untuk rezeki halal keluarga,” kata peniaga nasi ayam claypot tular, Ahmad Muzakin Mohd Amir.
Ahmad Muzakin, 48, tampil menjelaskan dakwaan mengenai premisnya di Sri Petaling, di sini, menggunakan wain beras dalam masakan, sejak ia tular dan hangat didebatkan di media sosial beberapa hari lalu.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia terkilan apabila ada segelintir pihak membuat pendedahan tanpa usul periksa dan tidak berjumpa dengannya terlebih dahulu apabila terus mendakwa salah satu botol digunanya berisi bahan terlarang.
Dakwanya, kedua-dua botol digunakannya itu adalah minyak bijan yang biasa digunakan dalam masakan Cina, namun ia adalah bahan diyakini halal cuma kilang berkenaan tidak mempunyai sijil halal daripada pihak berkuasa agama.
Selain itu, dia turut mendakwa premisnya juga pernah didatangi seorang pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Saya mengaku premis saya memang tiada sijil halal daripada Jakim tetapi banyak kedai Muslim lain juga tiada sijil sama. Saya anggap ia bukan satu masalah besar kerana saya adalah Muslim dan saya tahu tanggungjawab, malah tidak akan menyorokkan bahan digunakan.
“Dua botol itu adalah minyak bijan dan apabila guna dua botol secara terus, saya akan dapat titisan minyak berganda tanpa banyak kali menuangnya cuma saya akui kilang (pengeluar minyak bijan) itu tiada sijil halal tetapi bahannya diyakini tiada yang terlarang.
“Kalau kata saya memasukkan bahan terlarang dalam botol minyak bijan itu tidak masuk akal kerana kami tidak pernah membuka penutup itu hanya tebuk lubang dan plastik penutup juga masih rapi, jadi macam mana saya masukkan bahan itu.
“Bekalan ayam yang kami gunakan juga daripada sumber yang halal,” katanya ketika ditemui wartawan di premisnya, di sini, hari ini.
Katanya, biarpun dikecam, dihina dan difitnah, dia tetap memaafkan individu berkenaan kerana setiap manusia mempunyai khilaf termasuk dirinya dan menganggap ia adalah ujian mereka dalam mencari rezeki.
Bagaimanapun, dia yang mempunyai lesen perniagaan secara sah juga mahu membuat permohonan sijil halal kepada Jakim dan akan mengikuti kursus berkenaan pada Khamis ini.
“Apabila sudah tular dan terkenal seperti ini saya sudah cakap dengan isteri (Rotiya Ropai, 49) nanti mesti akan ada fitnah dan ia memang betul berlaku tetapi saya tidak sedih atau takut hilang pelanggan kerana rezeki Allah yang bagi.
“Macam-macam orang cakap tentang kami hingga mengaitkan asal usul kami. Saya orang Malaysia dan pemegang kad pengenalan biru tetapi saya tidak malu mengaku keturunan saya dari Indonesia dan isteri pula memang asal Surabaya.
“Saya tidak marah dan bersedia menjawab semua soalan pelanggan kerana saya ikhlas berniaga dan bertanggungjawab dengan perniagaan saya. Apa saja pelanggan mahu kepastian boleh tanya saya terus dan saya akan jawab jujur,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah premis diusahakan suami isteri Muslim yang tular di media sosial di Sri Petaling didakwa menggunakan bahan masakan tidak halal dan meragukan masyarakat sebelum Jakim mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis itu. – Harian Metro