SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik menjadi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal pertama Mesyuarat DUN ke-15.
Pemasyhuran Mohamed Azmin itu diumumkan Speaker, Lau Weng San selepas proses angkat sumpah 56 ADUN selesai.
Weng San berkata, DUN Selangor menerima surat daripada Perikatan Nasional pada 15 September lalu untuk mencalonkan ketua pembangkang.
“Saya dengan ini memasyhurkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ADUN Hulu Kelang sebagai ketua pembangkang. Diharapkan ketua pembangkang yang dilantik ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin dalam sidang media mengumumkan PN Selangor membentuk 10 jawatankuasa portfolio yang berperanan untuk mengadakan proses semak dan imbang dengan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Katanya, beliau sendiri akan mengetuai portfolio Kewangan, Ekonomi, Tanah dan Sumber Alam; Datuk Dr Halim Tamuri (Pendidikan dan Sumber Manusia); Datuk Seri Jamil Salleh (Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Infrastruktur); Dr Afif Bahardin (Kesihatan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Industri Digital; Muhammad Hilman Idham (Generasi Muda dan Sukan); Nushi Mahfodz (Agama Islam dan Pembangunan Desa); Nurul Syazwani Noh (Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan); Sallehein Mukhyi (Pertanian dan Industri Agromakanan) serta Datuk Noorazley Yahya (Pelancongan dan Kebudayaan Warisan Melayu).
“Portfolio berkenaan akan dibantu tiga jawatankuasa lain yang akan dianggotai ADUN yang tidak mengetuai mana-mana porfolio berdasarkan pengalaman, latar belakang masing-masing.
“Inilah pendekatan yang kami akan ambil pada sesi-sesi (DUN) akan datang yang mana ikrar dan janji kami kepada rakyat untuk memberikan khidmat yang terbaik melalui perbahasan perbincangan dalam dewan negeri Selangor,” katanya. – Harian Metro