HomeBerita‘Menjawablah di akhirat kelak!’ - Radzi Jidin

‘Menjawablah di akhirat kelak!’ – Radzi Jidin

CYBERJAYA: Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin mahu penyebar fitnah yang mendakwa beliau terlibat dengan rasuah dalam satu projek rundingan terus bernilai RM80 juta untuk tampil memohon maaf.

Radzi menerusi hantaran video di Facebooknya, menegaskan tuduhan yang dilemparkan itu sangat besar serta boleh menjejaskan imejnya.

“Ini satu fitnah yang besar dan kepada penyebar, ya anda mungkin gembira kerana ia sudah tular tetapi itu gembira di dunia.

“Menjawablah di akhirat kelak. Ini satu perbuatan yang cukup jahat,” katanya.

Radzi turut menjelaskan bahawa isterinya, Datin Balkis Zakarian bukan daripada keturunan kerabat diraja ataupun tengku dan tidak pernah sama sekali terlibat dalam urusan kementerian.

“Nama isteri saya, Balkis binti Datuk Syeikh Haji Zakaria bin Ahmad Wan Besar. Kalau sahabat-sahabat di Kedah, pasti mengenali salah seorang ulama besar yang menerbitkan buku dan kerap bersiar di radio ketika itu. Jadi, inilah isteri saya.

“Isteri saya ini kalau nak tahu, dia tidak pernah terlibat dengan urusan kementerian. Sebagai contoh, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ditanya mengenai tarikh sekolah akan dibuka bila dan saya jawab, tunggu pengumuman di TV.

“Ini adalah contoh bahawa kami tegas dan tidak ada penglibatan isteri saya langsung,” tegasnya.

Justeru, Radzi menasihatkan penuduh dan penyebar untuk bertaubat kerana tuduhan tersebut memberikan kesan yang amat besar.

Tambahnya, fitnah lebih bahaya daripada membunuh dan tindakan tersebut seperti mahu membunuh karakternya.

“Saya doakan yang terbaik untuk sahabat semua dan mohon sahabat semua doa yang terbaik juga untuk saya serta keluarga walau kita dizalimi sedemikian rupa,” ujar Radzi.

Sebelum ini, Radzi menafikan beliau telah meluluskan projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah dengan rasuah melibatkan lebih RM80 juta.

Malah, tuduhan dalam mesej WhatsApp yang tular baru-baru ini yang turut mengaitkan dirinya dan isteri dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah adalah tidak benar.

Author

Pilihan Editor