KUALA LUMPUR: Semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang memegang jawatan sebagai penyelia bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap anggota bawahan seliaan mereka yang melakukan salah laku.
Pegawai dan anggota yang bertindak sebagai penyelia memerlukan ketegasan dan keberanian dalam penyeliaan melalui kaedah pemantauan secara lebih terperinci atau ‘close monitoring’.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kebelakangan ini kes membabitkan salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM dikesan mencatat peningkatan.
“Tidak ada lagi alasan dalam kalangan penyelia untuk tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terbabit dalam salah laku kerana mereka mahu menutup kesalahan dan menjadi popular sebagai keengganan mengambil tindakan tegas.
“Bukan sekadar tindakan, malah teguran juga tidak diambil kerana tidak ada keberanian dan ketegasan,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara, September 2023, di Bukit Aman, hari ini.
Ayob Khan berkata, semua Pengarah, Komisioner Polis, Ketua Polis Negeri, Komander, Komandan, Pegawai-Pegawai Pemerintah, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Daerah wajib mengambil tindakan tegas dalam menguatkuasakan peraturan tanpa gagal.
“Sebarang kegagalan semua pegawai atasan mengambil tindakan bawah Peraturan 3C iaitu apa-apa peraturan dan pelanggaran tatatertib membabitkan pegawai dan anggota polis akan diambil tindakan.
“Semua Kontinjen, Briged dan Formasi diharap tidak hanya bergantung kepada pemeriksaan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan Naziran dari Bukit Aman untuk turun membuat pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak harus konsisten, berani dan tegas dalam menguatkuasakan Peraturan 3C bagi memastikan kita dapat membawa perubahan yang berkesan ke atas isu integriti dan salah laku dalam PDRM. – Berita Harian