HomeBeritaSebahagian M40 dijangka tak dapat subsidi bahan api - Penganalisis

Sebahagian M40 dijangka tak dapat subsidi bahan api – Penganalisis

 

KUALA LUMPUR: Sebahagian golongan berpendapatan pertengahan atau M40 mungkin tidak lagi mendapat subsidi bahan api dengan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar kelak, demikian menurut Kenanga Research.

Penganalisisnya, Cheow Ming Liang berkata, kerajaan dijangka mendedahkan butiran subsidi bahan api yang disasarkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober 2023 bagi menggantikan subsidi bahan api pukal sedia ada, berkemungkinan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024.

Katanya, peralihan itu didorong oleh beban kewangan tidak mampan sedia ada yang memperlihatkan 35 peratus daripada subsidi berjumlah RM77.3 bilion pada 2022 telah digunakan untuk subsidi bahan api yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi (T20) lebih kaya.

“Dengan memanfaatkan Pangkalan Data Utama (PADU) baharu yang mengintegrasikan data daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kerajaan berhasrat untuk mengenal pasti penerima menggunakan kriteria ‘pendapatan boleh guna bersih’, yang bertujuan untuk mengecualikan sebahagian besar demografi T20.

“Kami percaya sebahagian daripada kumpulan M40 juga mungkin terputus, menyebabkan kuasa perbelanjaan kumpulan pengguna ini berkurangan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata bahawa kerajaan mampu memperoleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Beliau berkata, penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24 peratus manakala berpendapatan sederhana (M40) sebanyak 41 peratus dan kumpulan T20 adalah 35 peratus pada 2022. – Buletin TV3

Author

Pilihan Editor