KUALA LUMPUR: Bank-bank sepatutnya meneruskan pengecualian caj, iaitu kadar diskaun peniaga (MDR) bagi pengguna kod QR DuitNow yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga kecil yang akan menerima bayaran tunai sekiranya mereka tidak menggunakan kemudahan itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, bank juga akan menerima manfaat daripada pengurangan kos pengendalian wang tunai sekiranya peniaga lebih menggunakan kaedah DuitNow QR berbanding wang tunai.
“Penepian (pengecualian caj) ini juga adalah seiring dengan usaha digitalisasi kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, beberapa bank telah mengeluarkan kenyataan untuk melanjutkan tempoh pengecualian MDR.
Katanya, terbaharu, CIMB telah bersetuju memberi pengecualian MDR untuk tempoh dua bulan lagi mulai 1 November 2023.
Di samping itu, katanya satu lagi berita baik yang diumumkan oleh Public Bank bahawa ia juga memberi pengecualian MDR sehingga satu tarikh yang diberitahu kelak.
“Jika pihak media, wakil rakyat dan peniaga tak buat bising dan protes, saya yakin caj kepada peniaga (MDR) akan dikenakan mulai 1 November 2023 tanpa pertimbangan langsung daripada pihak bank.
“Tahniah kepada mereka yang bersuara. Berbaloi,” katanya.
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) hari ini mengesahkan vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow akan dikenakan caj mulai 1 November ini.
Dalam satu kenyataan, PayNet berkata, terdapat dua e-pembayaran berbeza dikenakan caj, iaitu kadar diskaun peniaga (MDR) dan fi 50 sen bagi transaksi melebihi RM5,000.
“Mulai 1 November, pengecualian MDR untuk pembayaran menerusi kod QR DuitNow berakhir. Ketika ini, pembayaran kad debit dan kredit tertakluk kepada MDR, manakala terdapat pengecualian MDR untuk pembayaran QR,” katanya.
PayNet berkata, MDR bukanlah caj baharu atau tambahan, sebaliknya insentif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran kod QR yang diperkenal pada 2019 dengan MDR telah dikecualikan.
“Pengecualian ini dilanjutkan lagi berikutan COVID-19,” katanya. – Berita Harian