CYBERJAYA: Hanya individu yang memiliki pengenalan diri khas (ID) dan disahkan layak boleh mendapatkan minyak masak berpeket melalui subsidi bersasar yang dijangka diperkenalkan tahun depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, perkara itu penting bagi memastikan barangan keperluan itu disasarkan kepada yang memerlukan selain tidak berlaku penjualan kepada pihak tidak berkelayakan.
“Pada ketika ini, kerajaan keluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan diterima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis.
“Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak yang peket bersubsidi ini.
“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, sekiranya minyak masak berpeket itu dihadkan pembelian kepada 3 kilogram (kg) atau 5kg, para peniaga akan mengalami masalah.
“Lagi satu ialah golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak masak peket. Maka perlu kepada ID yang berbeza,” ujarnya.
Julai lalu, Fuziah menyatakan kerajaan akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan, manakala seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.
Beliau berkata, kementerian juga akan menambah kira-kira satu juta pengguna dalam kalangan usahawan mikro seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor.
Pada 11 September, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, program bersubsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan menerusi sistem pangkalan data utama (PADU).
Mei lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan PADU untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini, bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.